Thursday 27 June 2013

Mengangkat jari telunjuk ketika tahiyyat



Ilmu ini saya dapat ketika menonton video rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don. Semua kupasan yang dibuat di sini adalah berdasarkan apa yang dibincangkan oleh Ustaz Don dalam episod itu.


صلوا كما رايتموني اصلي


Sollu kama roai tumuni usolli – maksudnya: sembahyanglah kamu seperti mana kamu tengok aku sembahyang.

Ini adalah sebuah petikan daripada hadis yang boleh didapati di dalam Sahih al-Bukhari. Rujukannya adalah seperti di bawah:
In-book reference
Book 95, Hadith 1
Reference
Sahih al-Bukhari 7246
USC-MSA web (English) reference
Vol. 9, Book 91, Hadith 352

Daripada sini, perbincangan diteruskan dengan persoalan yang sering bermain di fikiran muslimin masa kini iaitu "Bagi yang tidak pernah lihat nabi pula, bagaimana?" Jawapannya:  Kita ikut para ulamak, kerana disebut para Ulamak adalah pewaris nabi. Kalau hendak belajar sembahyang, belajar agama, belajar cara masuk syurga; mesti dengan ulamak.

Hukum mengangkat jari ketika tahiyyat adalah sunat. Sunat pula maksudnya adalah sesuatu yang kalau kita buat, dapat pahala, kalau kita tinggal pun tidak mengapa. Adalah lebih baik kalau kita buat. Tujuan di sini bukanlah untuk meringan-ringankan perkara yang hukumnya sunat, tetapi pernyataan di atas lebih merujuk kepada perspektif masyarakat yang membincangkan mengenai perkara-perkara sunat. 

Bila kita hendak buat sesuatu, contohnya sembahyang, pertama sekali lihat sama ada perkara tersebut wajib atau sunat. Kalau sunat, contohnya mengangkat jari, jangan jadikan itu sebagai satu perbincangan yang menyebabkan semua orang membenci. Benci-membenci, bergaduh itu adalah perkara yang wajib kita jaga diri kita daripadanya. Boleh berbincang, cakap dengan bahasa yang baik. Kalau nak tinggalkan dari menggerakkan jari pun tiada masalah.

Dalam kes mengangkat jari ketika tahiyyat, ketika rasulullah SAW sembahyang, baginda SAW mengangkat jari telunjuknya ketika tahiyat.

Caranya ialah genggam 3 jari paling kanan, ibu jari selarikan di bawah jari telunjuk (seperti di dalam gambar di bawah).


Jari tersebut diangkat pada permulaan perkataan "illallah" (semasa mengucap dua kalimah syahadah di dalam tasyahud/tahiyyat) dan dikekalkan sehingga memberi salam. Itu cara nabi Muhammad SAW lakukan. Menurut kata ulama', jari telunjuk diangkat untuk menjadi isyarat kepada kesaksian kita terhadap keesaan Allah.

Walaupun selalunya orang Melayu kita jatuhkan jari tersebut di antara habis syahadah dan sebelum selawat, perkara tersebut tidak perlu dibesar-besarkan. Janganlah dikutuk atau dihina. Dicadangkan berkata dengan nada yang baik dan lembut, "biasanya nabi buat begini" sambil menunjukkan dengan tangan kita kaedah yang betul. Ia berbalik kepada perbincangan di atas di mana ianya hanyalah sunat pada hukumnya. 

Isu menggerak-gerakkan jari ketika bertahiyyat akhir itu tidak akan saya bincangkan kerana kekurangan ilmu dari pihak saya. Walaubagaimanapun, bagi yang ingin mengkaji lebih mendalam mengenai perkara itu, bolehlah mencari sebuah kitab yang ditulis oleh Sheikh Ali Jum'ah yang membincangkan secara panjang lebar mengenai perkara ini.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment