Wednesday 3 April 2013

Ebook Permasalahan Muwafik dan Masbuk

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Solat berjemaah lebih afdal (utama) daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda.” – (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(Diambil dari Berita Harian - http://www.bharian.com.my/articles/Solatberjemaahtawarganjaranpahalaberlipatkaliganda/Article/)

Saya rasa semua orang yang tahu bahawa sembahyang/solat berjemaah sememangnya jauh lebih baik dari solat bersendirian. Mengikut petikan hadith di atas, ganjarannya adalah 27 kali ganda berbanding solat bersendirian. Sangat lumayan!

Sememangnya umat Islam yang mengetahui kelebihan solat berjemaah dan ingin mengejar kelebihannya berlumba-lumba untuk ke masjid-masjid dan surau-surau agar dapat melaksanakan solat fardhu berjamaah semata-mata untuk mencari keredhoan Allah.

Malangnya, sembahyang hanya ikut-ikutan, kerana ilmunya tiada. Terus terang saya katakan, apa yang saya ingat dari ajaran di sekolah mengenai solat berjamaah ini hanyalah niat solatnya sahaja - iaitu ditambah "makmuman" sekiranya kita menjadi makmum/pengikut dan "imaman" sekiranya kita menjadi imam. Yang lain hanya amalan ikutan dari orang lain dan juga pengalaman sendiri. Maklumlah, niatnya dalam bahasa melayu pun "mengikut imam" sahaja, maka saya ikut sahajalah imam tersebut. Tidak terlintas di hati bahawa apa yang saya lakukan itu mungkin tidak betul.

Rupa-rupanya, semakin banyak saya belajar, semakin jelaslah kekurangan ilmu yang saya ada. Bila ditanya sekiranya saya seorang muwafik, dan berlaku sesuatu senario ini, apa yang perlu saya buat? Maksud "muwafik" pun saya tidak tahu, apatah lagi jawapan kepada persoalan ini. Bila ditanya sekiranya saya seorang masbuk, dan berlaku sesuatu senario ini, apa yang perlu saya buat? Maksud "masbuk" pun saya tidak tahu, apatah lagi jawapan kepada persoalan ini. Yang saya tahu, kalau kita mengikut imam, kita adalah makmum. Titik.

Berikutan kuliah-kuliah mengenai perkara ini dan perbincangan dengan rakan-rakan seqariah mengenai perkara ini, saya telah meminta kebenaran dari seorang rakan untuk menyebarkan sebuah eBook yang bertajuk "Permasalah Muwafik dan Masbuk", yang dirumikan dari sebuah kitab jawi "Masalah Muwafik dan Masbuk" oleh Hasan bin Ahmad.

Di dalamnya terdapat kupasan mengenai maksud makmum yang muwafik dan masbuk; masalah-masalah biasa dihadapi dan penyelesaiannya; khilaf ulama mengenai masalah ini; dan juga nota ringkas oleh penulis hasil kupasan dari ustaz-ustaz yang menggunakan kitab ini sebagai rujukan di dalam ceramah-ceramah di surau-surau dan masjid-masjid untuk pemahaman pembaca-pembaca sekalian.

eBook (PDF) tersebut boleh di download di sini.

Sekranya menghadapi masalah untuk memuat turun; tidak gemar fail-fail berbentuk PDF; atau apa jua masalah yang lain, boleh juga membaca secara terus dari blog penulis eBook tersebut: IRHAFIZ
Di samping itu, boleh juga membaca persoalan solat berjamaah yang masih menjadi tanda tanya pembaca kandungan eBook ini di ruang komen di blog tersebut. Sekiranya tuan puan juga mempunyai persoalan tersendiri mengenai perkara ini, boleh juga ditanya melalui ruangan komen tersebut. InsyaAllah, akan dijawab sekadar kemampuannya.

Wallahua'lam.