Thursday 19 September 2013

Kuliah Feqah: Hukum Berkaitan Ibadah Korban Berpandukan Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji



Sempena Hari Raya Korban yang akan datang di selekoh di depan sana, di sini saya ingin kongsikan slide yang telah disusun oleh Abu 'Ammar Madani, Ustaz Salehuddin bin Abu Samah yang bertajuk Kuliah Feqah: Hukum Berkaitan Ibadah Korban Berpandukan Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji (moga beliau mendapat rahmat yang besar hasil perkongsian ilmu ini yang diberikan secara percuma). Slide itu boleh di download di sini.

Pada pandangan saya, slide ini sudah cukup untuk menjadi sebuah ebook asas yang praktikal untuk umat Islam masa kini menjalankan ibadah korban dan merayakan Hari Raya Aidil Adha. Antara yang dikongsi di dalam slide tersebut adalah maksud korban itu sendiri, dalil dan hikmah disyariatkan ibadah korban, hukum-hukum menjalankan ibadah korban, siapa yang dituntut menjalankan ibadah korban (adakah anda salah seorang daripadanya?), binatang ternakan untuk dikorban termasuk syaratnya, waktu menjalankan ibadah korban, bahagian-bahagian agihan daging korban, sunat serta adab melakukan ibadah korban, Isu-isu semasa di dalam ibadah korban dan adab meraikan Hari Raya Aidil Adha. Isi kandungan slide tersebut adalah seperti di bawah:

Isi Kandungan:
1) Pengertian Korban
2) Dalil Pensyariatan
3) Hikmah Pensyariatan
4) Hukum Korban
5) Orang yang Dituntut untuk Melaksanakan Ibadah Korban
6) Binatang yang Disyariatkan untuk Korban
7) Syarat Binatang Korban
8) Waktu Korban
9) Agihan Daging Korban
10) Sunat dan Adab Berkorban
11) Hukum Semasa Tentang Ibadah Korban
12) Adab ketika Meraikan Hari Raya Aidiladha

Semasa mula-mula menerima perkongsian ini, saya berasa terpanggil untuk membacanya memandangkan ilmu yang ada sekadar ikut-ikutan orang tua-tua dan buku teks pendidikan agama Islam sekolah menengah yang hanya menyediakan asas untuk hidup bersyariat, tetapi jauh sekali daripada lengkap.

Antara yang menarik perhatian saya (sebenarnya lebih kepada ilmu yang saya baru dapat) di dalam kandungan slide tersebut adalah:

1) Hukum-hukum menjalankan ibadah korban - Kalau rajin ke surau, tentu anda pernah dengar hukum ibadah korban tidak sama antara individu ke individu yang lain, boleh jadi sunat muakkad, wajib, harus sebagainya. Sebahagian daripada hukum-hukum ini diulas di dalam slide tersebut. Anda juga boleh mengetahui secara umum anda berada di dalam kategori yang mana.

2) Syarat-syarat binatang korban: Memandangkan saya tidak pernah mengendalikan ibadah korban sendiri, saya tidak pernah mengambil tahu mengenai hal ini. Rupa-rupanya bukan boleh sesuka hati memilih haiwan korban (walaupun haiwan yang dipilih itu yang terbaik di antara yang terbaik), ada syarat yang perlu dipenuhi, antara yang dikemukakan di dalam slide tersebut adalah isu umur binatang tersebut, kecacatannya, haiwan berpenyakit (yang selalunya dialami lembu seperti penyakit kuku dan mulut?), ternakan kurus dan sebagainya.

3) Agihan daging korban - Ramai orang (sebenarnya lebih merujuk kepada saya/komuniti di sekeliling saya sendiri) sudah lupa atau keliru di antara pengagihan daging ibadah korban dan juga ibadah aqiqah. Slide ini menerangkan mengenai hukum-hukum yang terlibat dalam pengagihan daging korban (termasuk yang mana lebih afdhal), serta bahagian-bahagian yang terlibat di dalam pengagihan daging tersebut (memang banyak melibatkan "1/3"). Antara lain yang dibincangkan adalah pengurusan kulit haiwan korban tersebut.

4) Sunat dan adab berkorban - Siapa sangka, tidak memotong kuku dan membuang bulu boleh menjadi sunat? Rupanya orang yang berazam melakukan ibadah korban disunatkan untuk tidak memotong kuku, menghilangkan (mencukur atau mencabut) rambut, janggut dan misai bermula dari tibanya Zulhijjah sehingga selesai proses penyembelihan (terasa cetek sungguh ilmuku). Isu menyembelih sendiri atau menyaksikan penyembelihan dilakukan juga dikupas sedikit (tidak pernah terlintas isu ini juga ada). Yang lebih mengejutkan saya (yang begitu kurang pengetahuan ini), adalah sunat bagi pemerintah atau pemimpin orang Islam untuk menggunakan wang dari Baitul Mal untuk melakukan ibadah korban bagi pihak orang Islam.

5) Isu semasa di dalam menjalankan ibadah korban - Keseluruhan isu yang dibincangkan adalah menarik. Antara isu yang dikupas adalah hukum pemberian daging korban kepada orang yang bukan Islam, hukum korban di atas nama organisasi atau syarikat (sungguh mengejutkan dan sangat relevan pada zaman sekarang!), yang mana perlu diutamakan di antara ibadah korban atau membayar hutang (sungguh relevan terutamanya di tengah-tengah masyarakat yang hampir tiada orang bebas dari hutang bank pada zaman sekarang), hukum korban untuk orang yang telah meninggal dan hadith riwayat Imam Muslim mengenai jalan menghapuskan dosa selama dua tahun.

Sememangnya, saya akui, isu yang dikupas di dalam slide ini mempunyai isi yang mengejutkan. Harap ia dapat mengejutkan umat Islam yang masih tidur sehingga kini dalam mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama kita dengan izin Allah.

Adapun, terjemahan Jilid 1 Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji (termasuk bab ibadah korban ini mukasurat 431 - 440) boleh didapati di sini.

Wallahua'lam.




No comments:

Post a Comment