Monday 21 January 2013

Kisah Nokia 1280

Hujung minggu lepas, saya ke Sunway Pyramid untuk membeli telefon baru. Telefon lama masih baik, tetapi memandangkan pengecasnya yang unik dirosakkan kanak-kanak kecil, terpaksalah saya membeli telefon yang baru. Saya bercadang untuk membeli telefon yang paling murah, tetapi mestilah sekurang-kurangnya mempunyai fungsi telefon dan SMS, kerana mungkin dalam waktu-waktu terdekat ini saya ingin membeli telefon Nexus 4 (hidup mesti ada impian).

Hujung tahun lepas kononnya hendak menunggu tahun ini untuk rebat bagi pembelian telefon 3G melalui Pakej Komunikasi Belia, rupa-rupanya di samping membeli telefon tersebut, pemuda yang berusia di antara 21 hingga 30 tahun itu juga mestilah melanggan talian jalur lebar (broadband) bersama sekiranya masih belum ada (syarat-syarat kelayakan boleh didapati di laman web SKMM). 

 Saya masuk melalui Parkson dan terus ke ke Level 1 untuk ke Kedai Nokia.

Apabila tiba di sana, saya terus bertanyakan telefon yang harganya paling murah di dalam kedai itu. Pemilik kedai itu terkejut, tetapi kemudiannya menunjukkan telefon yang digunakannya, iaitu telefon Nokia 1280 yang berwarna merah jambu gelap. Katanya, harga telefon itu adalah RM80.00. Tanpa berfikir panjang saya terus menerima tawaran itu, malas hendak menawar harga lagi biarpun saya tidak tahu harga yang ditawarkan betul-betul murah atau tidak. Memandangkan ada pilihan lain, saya memilih telefon yang berwarna kelabu.


Setelah pulang ke rumah, bermulalah proses unboxing. 


Keesokan harinya, saya pergi ke Plaza Low Yat, untuk melihat iPad mini di Mac Store. Kebetulan pula terdapat Kedai Nokia di situ. Saya pergi ke kedai tersebut dan mula bertanya mengenai Nokia Lumia yang baru sahaja dilancarkan baru-baru ini. Stok yang saya lihat cuma telefon Lumia 620 dan Lumia 920. Saya pura-pura bertanyakan mengenai telefon murah yang dijual di situ. Jawapan yang saya terima adalah sama: Nokia 1280 yang berharga RM80.00. Sekadar pengesahan bahawa saya tidak ditipu.

Hari ini saya terbaca iklan Lazada di emel. Saya melawat laman tersebut sekadar untuk melihat-lihat. Tiba-tiba tanpa dijangka Lazada juga ada menjual telefon Nokia 1280, bersama diskaun. Ia dijual pada harga RM72.90 dan penghantaran adalah percuma dalam masa 1 hingga 3 hari bekerja. Tiada rezeki.


Kesimpulannya, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

No comments:

Post a Comment