Monday 27 October 2014

Baca Surah Al Ikhlas 10 kali Allah Beri Istana di Syurga

Episod 29 rancangan TV Semanis Kurma di TV9 yang bertajuk "Buta Al-Quran" telah dikendalikan oleh pasangan suami isteri Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dan isterinya Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood pada 23 Oktober 2014.



Nabi Muhammad S.A.W. sentiasa menggalakkan kita baca Al-Quran dan cinta Al Quran, sehingga sahabat tidak pernah berenggang dengan Al-Quran. Antara hadis Nabi Muhammad S.A.W.:




Ringkasan pengajaran/maksud yang kita boleh ambil dari hadits di atas adalah seperti berikut: Sabda Nabi Muhammad S.A.W., "Sesiapa yang membaca "Qul hu Allahu ahad" iaitu surah Al-Ikhlas sehingga habis ayat, sebanyak sepuluh (10) kali, maka Allah akan membina baginya sebuah istana di dalam syurga". Saidina Umar Al-Khattab yang mendengar sabda nabi tersebut telah berkata, "Kalau demikian ya Rasulullah, kami akan membaca Surah Al Ikhlas sebanyak-banyaknya". Lalu baginda S.A.W. telah bersabda, "Allah itu Maha Kaya dan selalu berbuat baik terhadap hamba-hambanya". Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam kitabnya "Al-Musnad".

Dalam erti kata lain, Allah ini Maha Pemurah. Allah sememangnya mahu memberi banyak nikmat kepada kita. Yang menjadi persoalan sekarang ialah sama ada kita mahu atau tidak nikmat tersebut. Bayangkan kalau kita membaca surah Al-Ikhlah sebanyak sepuluh kali, Allah akan beri kita istana di dalam syurga. Jadi, kita perlulah celik Al-Quran untuk mendapat nikmat ini.

Wallahua'lam.

Sedutan mp3 ceramah ini boleh didengar di bawah:

Tuesday 21 October 2014

Panduan menjaga tepi kain orang di dalam Islam

Petikan ini diambil dari program TV Zikir Dikir pada bulan Jun 2014 di TV Al Hijrah, di mana tetamu jemputan pada hari itu adalah Ustaz Haslin Baharin, yang selalunya dikenali sebagai Ustaz Bollywood di kalangan peminat-peminat beliau.

Antara petikan jawapan beliau adalah konsep “jangan jaga tepi kain orang” sebenarnya lebih kepada adat orang kita (yang saya faham, merujuk kepada orang Melayu). Sebenarnya di dalam Islam, kita kena jaga tepi kain orang. Jaga tepi kain orang ni sebenarnya adalah satu kewajipan. Manalah tahu, kain itu terkoyak, kalau kita tengok kita kena tegur. Seperti satu hadis nabi yang berbunyi:


(Antara format rujukan lain bagi hadith ini adalah Sahih Muslim: 2.186)

Maksud penuh bagi hadis ini boleh di lihat di sini.

Di mana, intipati yang ingin dihayati di sini adalah: kalau kamu tengok benda tak betul, tegur dengan tangan; kalau tak mampu, tegur dengan lisan; kalau tidak mampu juga, tegurlah dengan hati, dan itulah selemah-lemah iman.

Contohnya sekiranya anak-anak secara terang-terangan buat perkara yang tidak betul, sudah tentulah kita boleh menegur mereka. Tegurlah mereka. Sebab itulah disebut di dalam hadith nabi, kalau anak telah mencapai usia 10 tahun dan tidak mahu sembahyang, maka rotanlah mereka. Tetapi kalau anak orang lain, jangan pula kita rotan mereka, tegurlah mereka dengan lisan secara berhikmah (“Adik, adik ni dah besar panjang dah, jom kita sembahyang”).

Sebagai contoh, kadang-kadang budak-budak berlari di dalam masjid, ini perkara biasa. Ada sesetengah AJK masjid pula kurang pandai dalam menegur dengan berhikmah, terus memarahi mereka. Kanak-kanak yang ketakutan ini mungkin akan marah kembali dengan kata-kata kesat. Dari sini, kita boleh lihat, teguran secara berhikmah itu penting untuk memastikan mesej kita sampai. Kenalah peka dengan teknik menegur kanak-kanak ini.

Contoh lain yang kita boleh lihat ialah seperti kejadian tidur di dalam majlis di masjid (terutamanya majlis ilmu), walaupun telah ada petunjuk yang tertulis “Jangan tidur di dalam masjid”. Selalunya orang yang tidur ini bukanlah berniat hendak tidur, tetapi dek kerana keletihan, tertidur jualah akhirnya. Antara teknik yang selalu digunakan adalah seperti “Bangun bangun bangun! Ini masjid. Tak nampak ke tulis di sini "jangan tidur"? Buta ke mata tu?”. Apa kata kita cuba kaedah ini, “Encik ni letih ye? Nampak seperti sungguh mengantuk. Encik tunggu sekejap, saya pergi ambil bantal”.

Kalau isteri kita membuat kemungkaran, kita mempunyai kuasa untuk memperbetulkan kesilapan tersebut dengan cara yang terbaik. Boleh dinasihati, tetapi jangan menghina.

Paling penting sekali, yang tak boleh dibuat ialah jangan “...” kain orang (“...” mungkin merujuk kepada “selak”). Kalau kita dengan sengaja mengintai atau mencari keaiban orang, itu haram di dalam Islam.

Wallahua'lam.

Sedutan mp3 ceramah ini boleh didengar di bawah: