Wednesday 31 July 2013

Maher Zain - Ramadan (Versi Malay) dengan Lirik


Lagu Maher Zain versi Bahasa Melayu ini memang sesuai untuk menjadi tema akhir bulan Ramadhan ini, walaupun kebanyakan orang sudah mula mencari lagu raya sebagai tema mereka sekarang.

"Ramadan" 
Dinyanyikan oleh Maher Zain
Lirik oleh Frizdan Fizarahman

Ku menantimu saban waktu bangkit jiwaku
Kau suluh hatiku dengan sinar kudus kasihmu
Ku harapkan terus bersamamu selamanya

*chorus*
Ramadhan, Ramadhan, Ramadhan di hati
Ramadhan, Ramadhan, Ramadan usah pergi

Rahmat melimpah damainya ku rasakan
Ramadhan bulan Al Quran mendidik jiwaku menyuburkan iman
Ku harapkan terus bersamamu selamanya

*ulang chorus*

Sememangnya kau ku nantikan
Hadirmu hidupkan suram di jiwaku
Dan ku berjanji akan ku teruskan
semangatku itu sepanjang hidupku
Oh Ramadhan

*ulang chorus 2x*
Ku mohon usah pergi


Moga dapat dimanfaatkan 10 malam terakhir ini untuk mencari Lailatul Qadar, doakan semoga kita semua dipertemukan dengan ramadhan pada tahun hadapan.

Wallahua'lam




Friday 26 July 2013

Tips merawat anak / bayi yang kerap menangis (sawan tangis) malam menurut perubatan Islam


Pada beberapa hari yang lepas, saya telah menghadiri sebuah kuliah oleh Ustaz Abdul Halim Zakaria, seorang ustaz yang telah berkecimpung di dalam bidang merawat pesakit-pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus. Beliau telah memberikan tips kepada ibu bapa dan para hadirin, bagaimana untuk menyelesaikan masalah kalau anak / bayi kerap menangis pada waktu malam.

Biasanya, anak/bayi akan menangis malam kerana 2 perkara iaitu:

1. Kembung perut
2. Gangguan makhluk halus

(1) Kembung perut

Biasanya berlaku ke atas anak lelaki, kerana kadang kadang dia kena hernia, iaitu angin pasang.

Symptomnya ialah perut keras, pusat membonjol, kadang-kadang mata tengok ke atas.

Rawatannya –
1 – Siapkan satu kain, letakkan halba campur dan lada hitam di dalamnya dan punjutkan ia (ikat keempat-empat bucu kain ke atas (seperti bungkusan barang orang zaman Hang Tuah mengembara).
2 – Layurkan dekat api (janganlah terlalu hampir sampai terbakar kainnya).
3 - Tuam (ataupun demah) di kawasan kemaluannya, perutnya, belakangnya, betisnya.

InysaAllah, selepas itu bayi tersebut akan muntah-muntah atau sendawa-sendawa sehingga hilang kembung perutnya itu. Buat sehingga perutnya akan kembali lembut.

Antara petua untuk mengelakkan anak kembung perut ialah ibu yang menyusukannya mesti menjaga makan, kerana anak yang disusuinya akan ada kaitan dengan keadah pemakanan si ibu tersebut. Elakkan makan pucuk ubi. Sebaik-baiknya ibu tersebut berpantang. Antara kelebihan pantang yang lain adalah untuk mengelakkan perut berlipat-lipat (menggelebeh). Makanlah JAMU (JAMU sebenarnya adalah singkatan kepada JAgalah diriMU).

(2) Gangguan makhluk halus

Biasanya disebabkan oleh gangguan syaitan atau iblis, ibunya iaitu Ummu Sibyan, iaitu namanya Umma Mildam.

Symptomnya ialah di tempat pertemuan kening mata, ada urat yang berwarna biru atau kehijauan timbul, mata terbeliak ke atas.

Rawatannya –
1 – Ambil segelas air masak.
2 – Bacakan pada air tersebut surah Al fatihah, ayat qursi (sebaik-baiknya dibaca 9 wakaf), surah Al-ikhlas (7x), surah Al-falaq (7x), surah An-nas (7x).
3 – tiup ke dalam air tersebut.
4 – Pada waktu maghrib, ambil anak yang selalu menangis malam itu, bawa ke depan pintu utama rumah.
5 – Lunjurkan kaki dia ke arah luar rumah (melalui pintu utama tersebut), kita mesti duduk di bahagian kepala dia.
6 – Ambil air yang telah dibacakan tadi, masukkan ke dalam mulut kita (bukan minum).
7 – Ketika anak tersebut sedang melalak, semburkan secara mengejut air tersebut (melalui mulut kita) ke kanan, kemudian ke kiri, kemudian yang terakhir sekali ke tengah; iaitu kesemuanya ke seluruh badan iaitu dari kepala sehingga ke kaki. Pastikan kena di bahagian pertemuan kening tersebut, sembur paling kuat di situ.
8 – Ulang langkah 1 -8 selama 3 hari berturut-turut (menurut ustaz, insyaAllah 1 hari pun biasanya sudah berjaya, tapi untuk memastikan keberkesanannya).
9 - Lebihan air ini, bagi anak itu minum dan sapu pada ubun-ubunnya. Paling baik sekali jika dimandikan anak itu dengan air tersebut.
10 – Untuk memandikannya, sebaik-baiknya dicampur dengan limau purut, kalau tiada limau purut gantikan dengan daun bidara, kalau masih tiada daun bidara, gantikan dengan limau nipis (tetapi kurang elok auranya).

Antara petua yang lain yang boleh dibuat ialah –
1 – Buka seluas-luasnya semua tingkap dan pintu rumah.
2 – Bapa kepada budak/pesakit tersebut perlu azan (dengan sebutan yang betul).
3 – Lakukannya setiap hari kerana di dalam rumah ada gangguan makhluk halus.

Walaubagaimanapun, ustaz telah berpesan di awal kuliah bahawa ini adalah sekadar usaha kita sebagai manusia biasa. Berjaya atau tidak usaha kita segalanya terpulang kepada Allah.

Wallahua'lam.


Sedutan mp3 ceramah ini boleh didengar di bawah:




Wednesday 17 July 2013

Doa ketika menemui malam lailatul Qadar

Menurut sebuah hadith nombor 3254 di dalam Sunan Al Tirmizi (al Jami’ al Kabir),
Yang bermaksud:

Diriwayatkan dari Saidatina A'isyah RadiAllahu 'anha katanya:

Saya bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malam jatuhnya Lailatul Qadar itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?".

Maka ujar Nabi Sallalahu 'Alaihi Wasallam, "Katakan:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku ini".

(Hadith riwayat At-Tarmizi)

Doanya berbunyi Allahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'anni.

Semoga kita semua lebih berusaha untuk mencari Malam lailatu qadr ini dan menjumpainya. Amin.

Wallhua'lam.

Tuesday 16 July 2013

Jana Pendapatan Menggunakan Laman Web, Blog dan Facebook bersama Irfan Khairi

Pada 14 Julai 2013, saya telah berjaya menghadiri suatu seminar percuma oleh Dr Irfan Khairi (Dr IK) di pejabatnya IKSB di Mutiara Damansara, Petaling Jaya. Banyak ilmu yang saya pelajari dan dikongsi di sini, moga ada manfaatnya kepada para pembaca sekalian.

Dalam perniagaan, tak perlu ada kelulusan universiti. Contoh orang-orang yang berjaya walaupun gagal menghabiskan pelajaran di university adalah Bill Gates, Steve Jobs dll. Yang penting adalah pengalaman. Dr IK menceritakan pada masa Tun Dr Mahathir sedang sibuk menjayakan projek Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Corridor, MSC), beliau adalah salah seorang dari 10-20 orang pelajar Malaysia yang dipilih oleh JPA untuk belajar ke luar negara sempena projek tersebut. Dr IK telah dihantar ke Staffordshire University, universiti nombor satu dalam bidang IT di United Kingdom pada masa itu. Pensyarah-pensyarahnya terdiri dari doktor-doktor dan professor-professor, semuanya hebat-hebat belaka. Tetapi, walaupun memasuki universiti yang hebat, diajar oleh pensyarah yang hebat-hebat, tetapi beliau gagal dalam perniagaan internetnya yang pertama. Tahun pertama berniaga, hanya ada 3 pelanggan sahaja. Kemudian beliau belajar mengenai perniagaan internet, barulah beliau mula menjana pendapatan, dan akhirnya berjaya menjadi jutawan pada pada umur 25 tahun (tahun kedua menjalankan perniagaan).

 Di dalam suatu analogi, Dr IK menyatakan bahawa Juara Formula One (F1) akan memperolehi USD10 juta, naib juara F1 akan memperoleh USD5 juta. Dalam erti kata lain, pendapatan juara F1 adalah dua kali ganda pendapatan naib juara F1. Tetapi adakah kelajuan (performance) juara F1 adalah 2 kali ganda kelajuan naib juara F1? Tidak, mereka hanya berbeza beberapa saat sahaja, dan beberapa saat ini penting untuk menentukan pendapatan mereka. Begitu juga di dalam perniagaan internet, anda tidak perlu 2 kali ganda lebih hebat berbanding  pesaing anda. Sedikit kelebihan yang kita ada akan membolehkan kita mendapat pulangan yang berganda berbanding pesaing kita.

Pemilihan barang niaga di internet
Kepada sesiapa yang belum ada barang niaga, perlu diingat adalah menjual apa sahaja yang orang mahu boleh menjadikan anda jutawan. Yang anda perlukan adalah kelebihan yang sedikit berbanding pesaing untuk menukarkan diri menjadi berjaya. Selalunya strategi kita yang gagal.

Satu konsep yang dipelajari dari jutawan-jutawan contoh ialah, kalau hendak berniaga, buat perkara yang kita minat. Dr IK sebelum ke Staffordshire University, telah belajar di dalam bidang design and advertising di UITM. Kebanyakan design produk beliau dibuat sendiri, iaitu design cover buku. Beliau memang meminati bidang ini. Dengan perniagaan ini beliau berjaya mendapat sejuta ringgitnya yang pertama. Kalau beliau bekerja sebagai designer, mungkin pendapatannya hanya RM1,000 – 2,000 sebulan di Kuala Lumpur, tetapi menggunakan kemahiran yang sama, dengan membawa perniagaannya ke internet dan mendapat pelanggan dari serata dunia, beliau telah berjaya mendapat sejuta ringgitnya yang pertama. Adalah penting untuk melakukan perniagaan yang kita minat kerana kebarangkalian untuk kita berputus asa dari perniagaan itu sangat kurang.

Selain itu, perlu diingat, bukan hanya jual apa yang kita minat, tetapi juga apa yang orang cari, dalam erti kata lain yang mempunyai permintaan tinggi. Semua mentor-mentor yang ditemu ramah melalui program Jutawan bersama Irfan Khairi di radio 24, contohnya Azman Ching, Dr Fadzilah Khamsah, dll mengatakan perkara yang sama, kunci perniagaan yang berjaya adalah buat perkara yang ada permintaan. Jadi, kita tidak perlu mencari-cari orang, sebaliknya orang akan mencari kita. Jadi kita perlu gunakan beberapa strategi agar orang dapat mencari kita dengan mudah.

Untuk melihat permintaan di internet secara percuma, cari menggunakan google, cari perkataan “keyword tool”, kemudian klik hasil carian yang pertama (google Adwords keyword tool). 


 Masukkan data seperti di bawah



Keputusannya begini:



Menunjukkan pada bulan sebelumnya, sebanyak 1.8 juta orang mencari perkataan 'batik' di dalam enjin carian google dari seluruh dunia. Permintaan di Malaysia adalah 165 ribu. Jangan hanya meneka, mesti menggunakan strategi. Column competition bukanlah bermakna pesaing, tetapi pengiklan di google.

Yang terakhir, kalau nak berniaga, mestilah bersungguh-sungguh.

Kuasa tiga perniagaan internet

Ramai orang bertanya kalau nak buat bisnes di internet ni, nak guna platform mana? Jawapannya ke-tiga-tiga platform ini penting, dan setiap satu melakukan fungsi yang berbeza yang saling melengkapi antara satu sama lain. Jadi, gunakan ketiga-tiganya kalau betul-betul ingin berjaya di dalam perniagaan internet. Pemasaran terbaik adalah menggunakan ketiga-tiga alat iaitu blog, laman web dan facebook.

Laman web
Satu contoh yang diberikan adalah masalah seorang surirumah Muslim di Jepun. Surirumah ini ingin membuat puding atau jeli, maka dia perlukan gelatin yang halal. Di Jepun agak susah mandapatkan gelatin yang halal. Jadi surirumah ini membuka enjin carian Google dan mula mencari menggunakan kata carian “halal gelatine”.  Hasil carian yang pertama ialah halalgelatine.com, yang dimiliki oleh anak murid Dr IK sendiri, Anor.



Dulunya Anor mempunya kedai di basement KB Mall, Kota Bharu, Kelantan. Sewanya lebih kurang RM3,000.00 sebulan. Dia menjual produk-produk gelatin halal, kopi Radix, madu, produk HPA dan sebagainya. Pada tahun 2006-2007, dia berfikir bagaimanakah cara untuk mengembangkan perniagaan mereka. Kemudian dia terbaca artikel mengenai Dr IK di Berita Harian iaitu Revolusi Perniagaan Internet. Di dalamnya tertulis (lebih kurang begini) “Zaman sekarang kita boleh membawa perniagaan kita ke Internet. Dengan kos yang rendah, kita boleh mendapat pelanggan yang ramai”. Jadi, dia datang beberapa kelas Dr IK dan Dr IK menunjukkan bagaimana cara membina laman web seperti di atas, dan juga yang paling penting ialah bagaimana kita boleh membawa laman web kita ke muka pertama hasil carian dari enjin pencari seperti Google secara percuma. Kalau menggunakan perkhidmatan pengiklanan Google pun boleh juga tetapi kena sentiasa mengeluarkan wang. Apabila laman webnya menduduki tempat pertama di Google, dia dapat beribu-ribu pelanggan, setiap hari ada pesanan. Pelanggannya bukan hanya dari orang yang memesan satu paket sahaja, kadang-kadang restoran halal dari Perancis, Australia atau Mexico membeli berkotak-kotak daripada laman web yang ini. Hari ini, kedai itu sudah tidak ada di KB Mall lagi, bukan kerana bankrap, tidak laku dan sebagainya. Dia sudah tidak perlukannya. Daripada menyewa kedai RM3,000.00 sebulan untuk mendapat pelanggan di KB Mall sahaja, lebih baik menggunakan laman web yang memerlukan kos sebanyak lebih kurang RM300.00 setahun dan mendapat pelanggan dari seluruh dunia. Di sinilah pentingnya perniagaan internet.

Masalah yang dimiliki oleh seorang peniaga adalah bagaimana menukarkan pelawat kepada pembeli. Apa yang perlu ada? Pelawat adalah percuma, bagaimana menjadikan mereka membayar? Gunakan kaedah psikologi untuk mempengaruhi emosi, kerana pembelian selalunya dipengaruhi oleh emosi.

1.       Letak gambar anda. Dengan adanya gambar anda di situ, pelawat akan bertambah yakin untuk melakukan pembelian sebanyak 4 kali ganda. Sebab utama orang tidak membeli dari kita adalah orang tidak yakin dengan kita.

2.       Senaraikan seberapa banyak manfaat produk anda. Ingat, manfaat bukan ciri-ciri produk anda. Manfaat adalah apa yang kita akan dapat daripada ciri-ciri ini. Manfaat akan menarik emosi orang untuk membeli. Lihat contoh di bawah.

Ciri-ciri (feature)
Manfaat (benefit)
Kereta dengan enjin 1300 cc
Menjimatkan minyak
Telefon pintar berskrin besar
Senang untuk melayari internet
Mengandungi vitamin B
Meningkatkan tenaga anda

Keputusan belian adalah lebih bersifat emosi berbanding logik. Orang membeli adalah 10% sahaja logik, 90% lagi adalah emosi. Sebagai contoh, suasana pembelian di pasar ramadhan.

3.       Testimonial adalah perkara paling penting di laman anda, sebaik-baiknya testimonial bergambar untuk menarik keyakinan orang empat kali ganda.

4.       Gunakan emotional words/magic words di dalam laman/brosur anda. Yale University merupakan salah satu universiti terhebat di dalam bidang pemasaran. Melalui kajian di universiti ini, mereka mendapati terdapat 12 perkataan untuk mengubah emosi orang kepada membeli. Perkataan tersebut adalah “anda”, “jimat”, “keputusan”, “kesihatan”, “cinta”, “terbukti”, “wang”, “mudah”, “baru”, “keselamatan”, “ketahui”, “terjamin”.
Sebagai contoh, ayat ini: Dapatkan teknik menjana pendapatan menggunakan facebook.
Ditukarkan kepada: Ketahui teknik mudah menjana wang menggunakan facebook – Terbukti!
Tidak semestinya menggunakan semua perkataan, yang relevan sahaja.

Facebook
Di Asia, rakyat Malaysia adalah orang yang paling aktif menggunakan facebook. Di facebook, mesti dapatkan banyak followers. Kos membuat laman facebook adalah percuma. Pastikan laman yang anda buat adalah business page, dan bukannya akaun facebook yang biasa. Business page juga diberi secara percuma.

Setiap hari, manusia terdedah kepada lebih 2,000 iklan. Iklan itu adalah dari TV, radio, surat khabar, majalah, billboard dan sebagainya. Iklan anda mungkin salah satu daripadanya, bagaimana anda mahu memenangi persaingan menambat hati pengguna berbanding 1,999 iklan yang lain? Itulah kepentingan membina jenama.

Jenama secara luasnya ditafsirkan sebagai identity, cap dagangan, logo, nilai, warna dan lain-lain. Tetapi, sedarkah kita, sebanrnya jenama adalah pengalaman keseluruhan bersama perniagaan anda. Sebagai contoh, kita lihat kepada KFC. Namanya, cara perniagaannya, cara susun atur kedainya, layanan pekerja-pekerjanya, kebersihan tempatnya dan sebagainya, semua ini dikaitkan dengan jenama perniagaan anda.

Anda kena bina jenama anda, kerana kalau tiada jenama, orang tidak akan mengenali perniagaan anda. Kita boleh membina jenama iaitu pengalaman keseluruhan berniaga bersama anda menggunakan facebook.
Ramai orang yang bimbang kerana kurang followers. Cara untuk menambahkan followers yang senang dan murah ialah dengan berkongsi kepelbagaian maklumat (dalam pelbagai bentuk seperti berita, gambar dan video) di dalam facebook page anda. Bukan hanya produk anda, tetapi apa sahaja informasi yang berkaitan dengan produk anda. Tetapi jangan hanya berkongsi dengan mindset yang ingin menjual, kerana jika kita hanya membuat promosi, followers anda juga akan menyampah. Orang ramai masuk ke facebook bukan dengan mindset untuk membeli, tetapi untuk bersembang, berkenal-kenalan, bersantai-santai dan sebagainya. Kalau hendak membeli, mereka akan masuk mudah.my, lelong.com.my atau ebay.com. Oleh sebab itu, di facebook, anda kena mempelbagaikan pengalaman keseluruhan bersama perniagaan anda. Sebagai contoh, jika anda membuka perniagaan menjual tudung, boleh post mengenai cara-cara mengikat tudung, cara pemakaian muslimah untuk formal dinner, gambar-gambar artis tempatan yang memakai tudung, video-video artis antarabangsa yang memakai tudung (ambil daripada youtube sahaja, tak perlu buat sendiri video ini), link, apps dan sebagainya. Dengan ini, ia boleh memberikan pengalaman keseluruhan industri anda. Kongsikan apa yang relevan sahaja supaya sasaran pasaran (target market) tidak lari.

Masalah yang dihadapi sekarang ialah anda buka page facebook ini adalah untuk berniaga, tetapi untuk mendapatkan followers, anda hanya boleh berkongsi maklumat, jadi bila nak menjualnya? Di sinilah kita perlu menggunakan formula facebook iaitu:

9 : 1

 Maksudnya, 9 kali anda kongsi maklumat, 1 kali promosi perniagaan anda. Ulangi pusingan ini. Kesannya:

9 kali berkongsi maklumat: akan menambahkan jumlah followers page anda.
1 kali promosi: untuk tujuan jualan tanpa menjengkelkan followers anda.

Kalau kita bermula dari kosong, kita kena invite kawan-kawan kita supaya like page kita. Dari kawan kepada kawan, dari kawan kepada kawan, anda akan dapat memulakan jaringan kecil yang seterusnya akan berkembang dengan adanya post-post berkualiti yang digemari orang lain. Boleh juga guna teknik iklan di dalam facebook, tetapi itu memerlukan kos. Walaubagaimanapun, bergantung kepada anda sendiri.

Kekerapan update facebook yang terbaik adalah 3 kali sehari iaitu pada pukul 9 pagi, 3 petang dan 9 malam. Masa-masa ini adalah masa yang paling ramai orang masuk facebook. Ini kerana feed di dalam facebook akan hilang selepas 2-3 jam anda post update, jadi anda perlu target masa yang paling ramai orang masuk facebook untuk mengelakkan post anda tidak mendapat perhatian followers-followers anda. Rugilah kalau post anda tidak dibaca.

Masalah lain pula timbul iaitu kurang kemampuan di kalangan peniaga-peniaga internet untuk login facebook pada waktu-waktu tersebut untuk menulis post kepada followers mereka. Sebenarnya ada fungsi di dalam facebook page untuk menjadualkan post anda ke waktu-waktu tertentu. Lihat gambar di bawah, apabila anda menekan butang yang berbentuk seperti jam, anda akan diberi pilihan untuk menetapkan bila post tersebut akan muncul di depan laman followers anda, daripada tahun, bulan, hari, jam dan minit. Berapa banyak yang kita nak jadualkan pun boleh, untuk posting 2-3 minggu pun boleh. Hanya perlu kurang daripada 10 minit untuk melakukannya dan begitu mudah.



Sekiranya tersilap, klik pada edit page (bahagian atas belah kanan), kemudian klik activity log, seterusnya edit atau delete post yang tersilap itu. Juga sungguh mudah.

Salah satu kelebihan mempunyai business page adalah kita mempunyai sesuatu yang dipanggil insight, yang mana sekiranya kita klik pada see all, kita boleh melihat jantina, dari mana, umur, bahasa apa dan lain-lain. Memang sangat berguna kepada peniaga.

Blog
Tujuan utamanya adalah untuk promosi. Blog sepatutnya membawa produk anda ke bahagian teratas di dalam keputusan carian. Ramai peniaga mengeluh kos pengiklanan sangat mahal, tetapi Dr IK mendedahkan bahawa beliau sendiri pun tidak pernah menggunakan khidmat pengiklanan. Beliau hanya menggunakan kaedah percuma untuk membawa blog beliau ke muka pertama di dalam hasil carian enjin carian. Contohnya dengan menggunakan kata kunci “perniagaan” dan “warna perniagaan”.

Enjin pencari sebenarnya berniaga, jadi matlamatnya adalah untuk menjana pendapatan. Lagi ramai orang menggunakannya, lagi tinggi pendapatan mereka. Mereka mengetahui bahawa pengguna datang untuk mendapatkan maklumat. Jadi enjin-enjin carian ini akan memberikan nilai tambah kepada pengguna dengan memaparkan laman yang paling banyak maklumat ke bahagian atas hasil carian, iaitu di muka surat pertama. Oleh kerana itu, kebanyakan tempat pertama hasil carian sesuatu adalah daripada Wikipedia kerana Wikipedia sememangnya memberikan maklumat yang sangat banyak kepada pengguna. Gambar walau secantik manapun bukanlah informasi. Informasi hanyalah daripada tulisan sahaja. Kalau laman anda kurang maklumat, kemungkinan besar laman itu akan berada di muka surat 20 hasil carian google. Bila itu berlaku, pengguna biasanya tidak akan jumpa laman anda.

Di sini pentingnya blog, di mana anda memberikan sebanyak mungkin maklumat di situ. Blog anda ini kemudiannya menghubungkan ke laman web anda untuk menukarkan pelawat kepada pembeli. Informasi yang banyak akan membawa laman anda ke muka pertama hasil carian. Informasi yang banyak juga akan manyebabkan orang menyukai laman kita, secara tidak langsung kredibiliti dan keyakinan orang bertambah. Ibarat serampang dua mata.

Boleh gunakan blog yang percuma contohnya dari blogspot.

Wallahua'lam.

Wednesday 10 July 2013

Doa Ketika Berbuka Puasa

Menurut Ustaz Md. Zin bin Mohamad Noh yang pernah datang mengajar di tempat kami, doa buka puasa yang selalu dibaca oleh orang-orang Malaysia sekarang iaitu Allahumma lakasumtu wa bika amantu.....sehingga akhir sebenarnya tiada sanad yang sahih/jelas yang bersambung sehingga ke Nabi Muhammad S.A.W. (mohon maaf jika ada kesilapan istilah di dalam ayat ini, saya sememangnya tidak pernah belajar mengenai isu-isu sanad, harap sesiapa yang lebih berpengalaman dapat memberi tunjuk ajar). Doa berbuka puasa itu adalah seperti di bawah:

yang bermaksud: Ya Allah! Kerana-Mu aku berpuasa dan beriman, dan dengan rezeki-Mu aku berbuka puasa dengan rahmat-Mu jua wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Walaupun begitu, ustaz berkata membacanya bukanlah suatu kesalahan. Cuma terdapat doa yang lebih afdhol dibaca ketika berbuka puasa.

Doa tersebut ialah:
yang bermaksud: Telah hilang dahaga, telah basah urat leher dan telah tetaplah pahala di sisi Allah insyaAllah.

Doa ini bukanlah dibaca sebelum berbuka puasa seperti yang diamalkan. Ketika azan dilaungkan, bacalah basmalah (bismillah) - beserta doa makan biasa jika mahu. Kemudian berbukalah sekadarnya. Barulah doa ini dibacakan.

Wallahua'lam