Friday 30 January 2015

Kisah Akhlak Dan Salam Nabi Muhammad SAW Membawa Kepada Kemerdekaan Hamba



Kisah ini diceritakan oleh Habib Najmuddin bin Othman Al-Khered (Pembimbung Majlis Ta’lim Sawa’Assabil) di dalam Ceramah Maulidur Rasul 1436H yang bertajuk “Indahnya akhlakmu Ya Rasulullah”.

Satu ketika baginda Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam keluar daripada rumahnya, dan bersama baginda Rasulullah itu ada 4 dirham (dirham itu maksudnya wang perak, kalau dinar itu maksudnya wang emas, jadi nilainya itu besar). Nabi membawa wang sebanyak empat dirham itu untuk pergi ke pasar membeli barangan keperluan keluarga dan harian baginda Rasulullah.

Dalam perjalanan, baginda Rasulullah melihat ada seorang perempuan yang sedang duduk menangis dan sedih. Nabi SAW adalah seorang yang sangat penyayang, bahkan nabi itu, kasih sayangnya kepada semua daripada golongan. Nabi tegur pada ketika itu, “kenapa kamu menangis?”.  Dia kenal kepada Nabi dan mengatakan, “Ya Rasulullah, aku ini dipesan oleh tuanku untuk beli barang keperluan rumah di pasar dan tuanku memberikan aku 2 dirham. Tetapi di dalam perjalanan duitku itu hilang. Maka aku dah tidak tahu nak buat macam mana, kecuali aku duduk terdiam dan menangis takut nanti akan dimarahi oleh tuanku”.  Nabi ada 4 dirham, maka Nabi SAW yang penyayang ini ambil 2 dirham, berikan kepada perempuan itu, yang ternyata dia adalah merupakan hamba kepada keluarga seseorang.
Maka Nabi SAW pergi ke pasar, Nabi belilah keperluan yang sepatutnya bernilai 4 dirham, Nabi beli 2 dirham, kerana 2 dirham lagi telah diberikan kepada perempuan tersebut. Balik daripada membeli keperluan itu, Nabi jalan melalui jalan yang sama, dan tengok jumpa lagi perempuan itu, tetapi ditangannya sudah ada barang, cuma masih lagi duduk di situ dan menangis. Maka ditegur oleh Nabi SAW, “Wahai wanita, kenapa kamu menangis? Tadikan sudahkah aku berikan kamu dua dirham dan kamu telah beli pun barang?”.  Dia mengatakan, “Ya Rasulullah, sekarang ini yang menyedihkan aku dan menyebabkan aku menangis kerana aku takut nak balik ke rumah kerana aku sudah terlambat”. Maka Nabi SAW mengatakan, “Tak apa. Di mana rumahmu? Tunjukkan kepada aku, biar aku temani kepada kamu supaya nantinya, aku dapat untuk terangkan kepada tuan kamu supaya dia tidak memarahi kepada kamu”. Nabi menjadi penjamin kepada seorang pembantu ataupun khadam ataupun seorang khaadim iaitu seorang hamba pada zaman itu umpama seorang orang gaji pada masa sekarang.
Maka ditunjukkan jalan, daripada lorong ke lorong, diikuti oleh baginda Rasulullah SAW, bukanlah sangat dekat, agak jauh tetapi diikuti dengan penuh prihatin oleh baginda SAW sampailah ke rumah kepada hamba ini.

Maka Nabi SAW pun memberikan salam, “Assalamualaikum warahmatulahi wabarakaatuh”. Ternyata tiada jawapan daripada rumah. Kemudian nabi bagikan salam yang kedua, “Assalamualaikum warahmatulahi wabarakaatuh”. Tak ada jawapan daripada dalam rumah. Kemudian Nabi berikan salam yang ketiga, barulah setelah itu Nabi mendengar suara orang-orang perempuan yang berada dalam rumah itu menjawab, “Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh, ya Rasulallah”. Baru mereka buka pintu. Maka Nabi SAW berkata, “Aku datang ada keperluan, tetapi yang pertama nak tanya dulu. Kenapa ketika aku berikan salam yang pertama itu, kamu semua tak jawab? Kemudian yang kedua ku berikan salam, kamu tak jawab. Yang ketiga baru kamu jawab. Adakah kamu tak dengar salam yang ku berikan? Maka kata orang-orang perempuan itu, “Ya Rosulullah, ketika mana kami mendengar salam mu yang pertama, kami kenal betul itu suaramu ya Rasulullah. Maka kami, ketika mana mendengarkan salam daripada mu, maka kami nak supaya kamu memberi salam yang kedua, kerana salam itu adalah merupakan doa, dan doamu tak akan ditolak oleh Allah SWT. Maka kami biarkan supaya kamu mengulangi doa kamu kesejahteraan untuk kami, dan setelah kali keduanya pun kami biarkan dan kami tidak jawab, cuma kami jawab dalam keadaan yang diam (maksudnya jawab, sebab jawab itu wajib, cumanya jawab slow) supaya kamu ulang lagi doa kamu itu. Sehinggalah kali ketiga kamu berikan salam, kami menjawab sebab kami tahu adab mu ya Rasulullah, kalau memberi salam pergi ke rumah orang hanya tiga kali sahaja”. Itu adab Nabi SAW kalau pergi rumah orang kalau beri salam 3 kali sahaja, kalau tiada, Nabi akan jalan balik. “Barulah kami menjawabnya supaya kamu tak beredar, ya Rasulullah. Dan kami sangat berbesar hati kamu sanggup untuk mendatangi rumah kami, dan mendatangi untuk membawa keberkatan ke rumah kami, dan apakah hajatmu ya Rasulullah?”. Maka Nabi SAW mengatakan, “aku datang ini dengan sebab, yang pertama untuk nak menjamin kepada hambamu ini yang ditimpa musibah, dan aku harap supaya kamu tak memarahinya kerana terlambat sampai ke rumah”.

Kata tuan kepada hamba itu (orang perempuan itu), “Ya Rasulullah, kalau kau sendiri yang telah pun menjaminnya, pastilah kami tidak akan memarahinya. Bahkan, sekarang ini dengan jasa dia, dengan sebab dia, kamu datang kepada kami, alangkah bertuahnya kami dengan sebab dia kamu datang. Maka dengan ini, dengan nama Allah, kami memerdekakan hamba ini”. Masya Allah, itu akhlaknya Nabi SAW sehingga tumpah kepada tuan kepada hamba tersebut dan memerdekakan.

Wallahua'lam.


Sedutan mp3 ceramah ini boleh didengar di bawah: