Friday 26 July 2013

Tips merawat anak / bayi yang kerap menangis (sawan tangis) malam menurut perubatan Islam


Pada beberapa hari yang lepas, saya telah menghadiri sebuah kuliah oleh Ustaz Abdul Halim Zakaria, seorang ustaz yang telah berkecimpung di dalam bidang merawat pesakit-pesakit yang mengalami gangguan makhluk halus. Beliau telah memberikan tips kepada ibu bapa dan para hadirin, bagaimana untuk menyelesaikan masalah kalau anak / bayi kerap menangis pada waktu malam.

Biasanya, anak/bayi akan menangis malam kerana 2 perkara iaitu:

1. Kembung perut
2. Gangguan makhluk halus

(1) Kembung perut

Biasanya berlaku ke atas anak lelaki, kerana kadang kadang dia kena hernia, iaitu angin pasang.

Symptomnya ialah perut keras, pusat membonjol, kadang-kadang mata tengok ke atas.

Rawatannya –
1 – Siapkan satu kain, letakkan halba campur dan lada hitam di dalamnya dan punjutkan ia (ikat keempat-empat bucu kain ke atas (seperti bungkusan barang orang zaman Hang Tuah mengembara).
2 – Layurkan dekat api (janganlah terlalu hampir sampai terbakar kainnya).
3 - Tuam (ataupun demah) di kawasan kemaluannya, perutnya, belakangnya, betisnya.

InysaAllah, selepas itu bayi tersebut akan muntah-muntah atau sendawa-sendawa sehingga hilang kembung perutnya itu. Buat sehingga perutnya akan kembali lembut.

Antara petua untuk mengelakkan anak kembung perut ialah ibu yang menyusukannya mesti menjaga makan, kerana anak yang disusuinya akan ada kaitan dengan keadah pemakanan si ibu tersebut. Elakkan makan pucuk ubi. Sebaik-baiknya ibu tersebut berpantang. Antara kelebihan pantang yang lain adalah untuk mengelakkan perut berlipat-lipat (menggelebeh). Makanlah JAMU (JAMU sebenarnya adalah singkatan kepada JAgalah diriMU).

(2) Gangguan makhluk halus

Biasanya disebabkan oleh gangguan syaitan atau iblis, ibunya iaitu Ummu Sibyan, iaitu namanya Umma Mildam.

Symptomnya ialah di tempat pertemuan kening mata, ada urat yang berwarna biru atau kehijauan timbul, mata terbeliak ke atas.

Rawatannya –
1 – Ambil segelas air masak.
2 – Bacakan pada air tersebut surah Al fatihah, ayat qursi (sebaik-baiknya dibaca 9 wakaf), surah Al-ikhlas (7x), surah Al-falaq (7x), surah An-nas (7x).
3 – tiup ke dalam air tersebut.
4 – Pada waktu maghrib, ambil anak yang selalu menangis malam itu, bawa ke depan pintu utama rumah.
5 – Lunjurkan kaki dia ke arah luar rumah (melalui pintu utama tersebut), kita mesti duduk di bahagian kepala dia.
6 – Ambil air yang telah dibacakan tadi, masukkan ke dalam mulut kita (bukan minum).
7 – Ketika anak tersebut sedang melalak, semburkan secara mengejut air tersebut (melalui mulut kita) ke kanan, kemudian ke kiri, kemudian yang terakhir sekali ke tengah; iaitu kesemuanya ke seluruh badan iaitu dari kepala sehingga ke kaki. Pastikan kena di bahagian pertemuan kening tersebut, sembur paling kuat di situ.
8 – Ulang langkah 1 -8 selama 3 hari berturut-turut (menurut ustaz, insyaAllah 1 hari pun biasanya sudah berjaya, tapi untuk memastikan keberkesanannya).
9 - Lebihan air ini, bagi anak itu minum dan sapu pada ubun-ubunnya. Paling baik sekali jika dimandikan anak itu dengan air tersebut.
10 – Untuk memandikannya, sebaik-baiknya dicampur dengan limau purut, kalau tiada limau purut gantikan dengan daun bidara, kalau masih tiada daun bidara, gantikan dengan limau nipis (tetapi kurang elok auranya).

Antara petua yang lain yang boleh dibuat ialah –
1 – Buka seluas-luasnya semua tingkap dan pintu rumah.
2 – Bapa kepada budak/pesakit tersebut perlu azan (dengan sebutan yang betul).
3 – Lakukannya setiap hari kerana di dalam rumah ada gangguan makhluk halus.

Walaubagaimanapun, ustaz telah berpesan di awal kuliah bahawa ini adalah sekadar usaha kita sebagai manusia biasa. Berjaya atau tidak usaha kita segalanya terpulang kepada Allah.

Wallahua'lam.


Sedutan mp3 ceramah ini boleh didengar di bawah:




No comments:

Post a Comment