Friday 21 June 2013

Amalan Sunnah di bulan Syaaban

Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Usamah bin Zaid di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh An-Nasaie pernah bertanya kepada Baginda SAW "Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau banyak berpuasa dalam sebulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa pada bulan Sya'ban. Rasulullah SAW kemudiannya menjawab, "Itulah bulan yang manusia melupakannya, ia berada di antara bulan Rejab dan Ramadhan, iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Allah, tuhan sekalian alam. Oleh itu, aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa".

Galakan berpuasa dijelaskan didalam banyak hadis, antaranya ialah:
Daripada Abu Salamah, beliau berkata "Aku bertanya Aishah RA tentang puasa Nabi SAW dan beliau menjelaskan, "Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan baginda telah berpuasa; dan berbuka sehingga kami mengatakan baginda telah berbuka. Aku tidak pernah melihat baginda banyak berpuasa selain daripada bulan Syaaban. Baginda berpuasa Syaaban hampir keseluruhannya, dan tidak baginda tinggalkan puasa pada bulan tersebut melainkan sedikit".
(Riwayat Imam Muslim)

Namun demikian, para ulamak (antaranya ialah Imam Nawawi) menyatakan bahawa hukum berpuasa selepas 15 Syaaban adalah makruh, berdasarkan hadith:
Nabi SAW bersabda, yang bermaksud "Apabila berlalunya pertengahan bulan Syaaban, janganlah kamu berpuasa".
(Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Walaubagaimanapun, larangan ini tidak terpakai kepada mereka mereka yang sudah berpuasa sebelum 15 Syaaban dan mereka yang kebiasaanya berpuasa sunat pada hari tertentu (sebagai contoh puasa sunat Isnin dan Khamis). Ini berdasarkan hadith:
Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud "janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum bulan Ramadhan kecuali bagi sesiapa yang kebiasaannya berpuasa, maka dia boleh berpuasa".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment