Thursday 20 June 2013

Ihsan di Tempat Kerja

Di sini saya ingin memaparkan dua cerita yang saya dengar dari kedua-dua belah pihak, iaitu dari pihak pekerja dan dari pihak pengurusan pertengahan.

Cerita 1: Luahan hati pekerja
Pekerja ini merupakan seorang cleaner, yang mana kerjanya adalah menyapu, vacuum, lap meja dan tingkap untuk menghilangkan habuk serta mengambil sampah dari tong sampah di meja setiap pekerja di sebuah bangunan di ibu kota Kuala Lumpur. 

Daripada ceritanya, saya dapat simpulkan bahawa majikannya seorang yang rajin beribadah khusus, dan dalam masa yang sama menceburi bidang peniagaan. Walaupun syarikatnya mempunyai banyak pekerja, hanya empat orang sahaja daripadanya adalah warga tempatan. Waktu kerja dan gaji yang diberi adalah sama. Majikannya melayan pekerja warga asing dan tempatan secara sama rata, tiada lebih dan tiada kurang. Ini menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati, di kalangan pekerja warga tempatan yang bekerja di bawah majikannya.

Pernah pekerja ini pergi ke sebuah kompleks membeli-belah dan bertanya berkenaan peluang pekerjaan sebagai cleaner di situ, dengan cepat orang yang ditanyanya itu memberitahu bahawa tiada kerja kosong. Memandangkan pekerja ini masih mempunyai banyak masa, dia telah duduk di kawasan yang berhampiran, sambil menikmati suasana di situ. Tiba-tiba 2 orang warga asing datang kepada orang yang sama bertanyakan peluang pekerjaan sebagai cleaner di situ, terus disuruhnya mereka naik ke atas untuk diproses permohonan kerja mereka. Di dalam hati pekerja ini mula menyumpah-nyumpah dan membara kepanasan. Majikan di Malaysia seolah-olah menganaktirikan pekerja tempatan berbanding pekerja asing. Mereka bukannya hendak gaji yang lebih tinggi, mereka cuma mahu peluang untuk mendapatkan ruang di alam pekerjaan.

Cerita 2: Luahan hati pihak pengurusan pertengahan
Pengurus yang saya maksudkan ini bekerja sebagai seorang jurutera, lulusan dari universiti tempatan dan kemudiannya menyambung pelajaran di luar negara dengan jayanya. Beliau bekerja di sebuah kilang di Negeri Kedah.

Jurutera ini berasa agak sedih melihat tahap kebertanggungjawaban pekerja-pekerja tempatan. Pekerja asing sememangnya sangat berusaha untuk mendapatkan rezeki, buat kerja sebaik mungkin untuk mengelakkan kesilapan. Berlainan pula dengan pekerja tempatan, yang menganggap kesilapan adalah perkara biasa, dan boleh mengulanginya termasuk melanggar tatacara yang telah diarahkan oleh jurutera. Mungkin inilah sebab utama para majikan lebih suka untuk mengambil pekerja asing bagi kerja-kerja operasi (operation). Jika pekerja tempatan melanggar tatacara yang diarahkan oleh jurutera, ini menjadikan mereka tidak amanah dalam menjalankan tugasan mereka. Walaupun tidak dapat dikesan, jurutera tersebut selalu mengingatkan bahawa setiap butir nasi yang masuk ke dalam perut mereka dan anak-anak mereka akan dihisab sama ada dari sumber yang halal atau haram. 

Kesimpulan
Saya bukanlah hendak melaga-lagakan pekerja asing dan tempatan, bukan itu tujuan saya. Saya cuma ingin ingatkan diri saya dan para pembaca sekalian supaya hisab diri kita sebelum kita dihisab di akhirat kelak di hadapan semua manusia iaitu dari Nabi adam sehingga manusia terakhir hidup di muka bumi ini. CCTV kita sememangnya tidak mampu menyaingi teknologi CCTV Allah. Konsep ihsan itulah yang selalunya gagal diterjemahkan di dalam alam pekerjaan. Semoga, dengan coretan saya yang tidak seberapa ini dapat menguatkan kembali semangat kita untuk lebih amanah di dalam tugasan yang diberi.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment