Tuesday 21 October 2014

Panduan menjaga tepi kain orang di dalam Islam

Petikan ini diambil dari program TV Zikir Dikir pada bulan Jun 2014 di TV Al Hijrah, di mana tetamu jemputan pada hari itu adalah Ustaz Haslin Baharin, yang selalunya dikenali sebagai Ustaz Bollywood di kalangan peminat-peminat beliau.

Antara petikan jawapan beliau adalah konsep “jangan jaga tepi kain orang” sebenarnya lebih kepada adat orang kita (yang saya faham, merujuk kepada orang Melayu). Sebenarnya di dalam Islam, kita kena jaga tepi kain orang. Jaga tepi kain orang ni sebenarnya adalah satu kewajipan. Manalah tahu, kain itu terkoyak, kalau kita tengok kita kena tegur. Seperti satu hadis nabi yang berbunyi:


(Antara format rujukan lain bagi hadith ini adalah Sahih Muslim: 2.186)

Maksud penuh bagi hadis ini boleh di lihat di sini.

Di mana, intipati yang ingin dihayati di sini adalah: kalau kamu tengok benda tak betul, tegur dengan tangan; kalau tak mampu, tegur dengan lisan; kalau tidak mampu juga, tegurlah dengan hati, dan itulah selemah-lemah iman.

Contohnya sekiranya anak-anak secara terang-terangan buat perkara yang tidak betul, sudah tentulah kita boleh menegur mereka. Tegurlah mereka. Sebab itulah disebut di dalam hadith nabi, kalau anak telah mencapai usia 10 tahun dan tidak mahu sembahyang, maka rotanlah mereka. Tetapi kalau anak orang lain, jangan pula kita rotan mereka, tegurlah mereka dengan lisan secara berhikmah (“Adik, adik ni dah besar panjang dah, jom kita sembahyang”).

Sebagai contoh, kadang-kadang budak-budak berlari di dalam masjid, ini perkara biasa. Ada sesetengah AJK masjid pula kurang pandai dalam menegur dengan berhikmah, terus memarahi mereka. Kanak-kanak yang ketakutan ini mungkin akan marah kembali dengan kata-kata kesat. Dari sini, kita boleh lihat, teguran secara berhikmah itu penting untuk memastikan mesej kita sampai. Kenalah peka dengan teknik menegur kanak-kanak ini.

Contoh lain yang kita boleh lihat ialah seperti kejadian tidur di dalam majlis di masjid (terutamanya majlis ilmu), walaupun telah ada petunjuk yang tertulis “Jangan tidur di dalam masjid”. Selalunya orang yang tidur ini bukanlah berniat hendak tidur, tetapi dek kerana keletihan, tertidur jualah akhirnya. Antara teknik yang selalu digunakan adalah seperti “Bangun bangun bangun! Ini masjid. Tak nampak ke tulis di sini "jangan tidur"? Buta ke mata tu?”. Apa kata kita cuba kaedah ini, “Encik ni letih ye? Nampak seperti sungguh mengantuk. Encik tunggu sekejap, saya pergi ambil bantal”.

Kalau isteri kita membuat kemungkaran, kita mempunyai kuasa untuk memperbetulkan kesilapan tersebut dengan cara yang terbaik. Boleh dinasihati, tetapi jangan menghina.

Paling penting sekali, yang tak boleh dibuat ialah jangan “...” kain orang (“...” mungkin merujuk kepada “selak”). Kalau kita dengan sengaja mengintai atau mencari keaiban orang, itu haram di dalam Islam.

Wallahua'lam.

Sedutan mp3 ceramah ini boleh didengar di bawah: 

No comments:

Post a Comment