Wednesday, 10 July 2013

Doa Ketika Berbuka Puasa

Menurut Ustaz Md. Zin bin Mohamad Noh yang pernah datang mengajar di tempat kami, doa buka puasa yang selalu dibaca oleh orang-orang Malaysia sekarang iaitu Allahumma lakasumtu wa bika amantu.....sehingga akhir sebenarnya tiada sanad yang sahih/jelas yang bersambung sehingga ke Nabi Muhammad S.A.W. (mohon maaf jika ada kesilapan istilah di dalam ayat ini, saya sememangnya tidak pernah belajar mengenai isu-isu sanad, harap sesiapa yang lebih berpengalaman dapat memberi tunjuk ajar). Doa berbuka puasa itu adalah seperti di bawah:

yang bermaksud: Ya Allah! Kerana-Mu aku berpuasa dan beriman, dan dengan rezeki-Mu aku berbuka puasa dengan rahmat-Mu jua wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Walaupun begitu, ustaz berkata membacanya bukanlah suatu kesalahan. Cuma terdapat doa yang lebih afdhol dibaca ketika berbuka puasa.

Doa tersebut ialah:
yang bermaksud: Telah hilang dahaga, telah basah urat leher dan telah tetaplah pahala di sisi Allah insyaAllah.

Doa ini bukanlah dibaca sebelum berbuka puasa seperti yang diamalkan. Ketika azan dilaungkan, bacalah basmalah (bismillah) - beserta doa makan biasa jika mahu. Kemudian berbukalah sekadarnya. Barulah doa ini dibacakan.

Wallahua'lam

Thursday, 27 June 2013

Mengangkat jari telunjuk ketika tahiyyat



Ilmu ini saya dapat ketika menonton video rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don. Semua kupasan yang dibuat di sini adalah berdasarkan apa yang dibincangkan oleh Ustaz Don dalam episod itu.


صلوا كما رايتموني اصلي


Sollu kama roai tumuni usolli – maksudnya: sembahyanglah kamu seperti mana kamu tengok aku sembahyang.

Ini adalah sebuah petikan daripada hadis yang boleh didapati di dalam Sahih al-Bukhari. Rujukannya adalah seperti di bawah:
In-book reference
Book 95, Hadith 1
Reference
Sahih al-Bukhari 7246
USC-MSA web (English) reference
Vol. 9, Book 91, Hadith 352

Daripada sini, perbincangan diteruskan dengan persoalan yang sering bermain di fikiran muslimin masa kini iaitu "Bagi yang tidak pernah lihat nabi pula, bagaimana?" Jawapannya:  Kita ikut para ulamak, kerana disebut para Ulamak adalah pewaris nabi. Kalau hendak belajar sembahyang, belajar agama, belajar cara masuk syurga; mesti dengan ulamak.

Hukum mengangkat jari ketika tahiyyat adalah sunat. Sunat pula maksudnya adalah sesuatu yang kalau kita buat, dapat pahala, kalau kita tinggal pun tidak mengapa. Adalah lebih baik kalau kita buat. Tujuan di sini bukanlah untuk meringan-ringankan perkara yang hukumnya sunat, tetapi pernyataan di atas lebih merujuk kepada perspektif masyarakat yang membincangkan mengenai perkara-perkara sunat. 

Bila kita hendak buat sesuatu, contohnya sembahyang, pertama sekali lihat sama ada perkara tersebut wajib atau sunat. Kalau sunat, contohnya mengangkat jari, jangan jadikan itu sebagai satu perbincangan yang menyebabkan semua orang membenci. Benci-membenci, bergaduh itu adalah perkara yang wajib kita jaga diri kita daripadanya. Boleh berbincang, cakap dengan bahasa yang baik. Kalau nak tinggalkan dari menggerakkan jari pun tiada masalah.

Dalam kes mengangkat jari ketika tahiyyat, ketika rasulullah SAW sembahyang, baginda SAW mengangkat jari telunjuknya ketika tahiyat.

Caranya ialah genggam 3 jari paling kanan, ibu jari selarikan di bawah jari telunjuk (seperti di dalam gambar di bawah).


Jari tersebut diangkat pada permulaan perkataan "illallah" (semasa mengucap dua kalimah syahadah di dalam tasyahud/tahiyyat) dan dikekalkan sehingga memberi salam. Itu cara nabi Muhammad SAW lakukan. Menurut kata ulama', jari telunjuk diangkat untuk menjadi isyarat kepada kesaksian kita terhadap keesaan Allah.

Walaupun selalunya orang Melayu kita jatuhkan jari tersebut di antara habis syahadah dan sebelum selawat, perkara tersebut tidak perlu dibesar-besarkan. Janganlah dikutuk atau dihina. Dicadangkan berkata dengan nada yang baik dan lembut, "biasanya nabi buat begini" sambil menunjukkan dengan tangan kita kaedah yang betul. Ia berbalik kepada perbincangan di atas di mana ianya hanyalah sunat pada hukumnya. 

Isu menggerak-gerakkan jari ketika bertahiyyat akhir itu tidak akan saya bincangkan kerana kekurangan ilmu dari pihak saya. Walaubagaimanapun, bagi yang ingin mengkaji lebih mendalam mengenai perkara itu, bolehlah mencari sebuah kitab yang ditulis oleh Sheikh Ali Jum'ah yang membincangkan secara panjang lebar mengenai perkara ini.

Wallahua'lam.

Friday, 21 June 2013

Amalan Sunnah di bulan Syaaban

Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban. Usamah bin Zaid di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh An-Nasaie pernah bertanya kepada Baginda SAW "Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau banyak berpuasa dalam sebulan berbanding bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa pada bulan Sya'ban. Rasulullah SAW kemudiannya menjawab, "Itulah bulan yang manusia melupakannya, ia berada di antara bulan Rejab dan Ramadhan, iaitu bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Allah, tuhan sekalian alam. Oleh itu, aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa".

Galakan berpuasa dijelaskan didalam banyak hadis, antaranya ialah:
Daripada Abu Salamah, beliau berkata "Aku bertanya Aishah RA tentang puasa Nabi SAW dan beliau menjelaskan, "Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan baginda telah berpuasa; dan berbuka sehingga kami mengatakan baginda telah berbuka. Aku tidak pernah melihat baginda banyak berpuasa selain daripada bulan Syaaban. Baginda berpuasa Syaaban hampir keseluruhannya, dan tidak baginda tinggalkan puasa pada bulan tersebut melainkan sedikit".
(Riwayat Imam Muslim)

Namun demikian, para ulamak (antaranya ialah Imam Nawawi) menyatakan bahawa hukum berpuasa selepas 15 Syaaban adalah makruh, berdasarkan hadith:
Nabi SAW bersabda, yang bermaksud "Apabila berlalunya pertengahan bulan Syaaban, janganlah kamu berpuasa".
(Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Walaubagaimanapun, larangan ini tidak terpakai kepada mereka mereka yang sudah berpuasa sebelum 15 Syaaban dan mereka yang kebiasaanya berpuasa sunat pada hari tertentu (sebagai contoh puasa sunat Isnin dan Khamis). Ini berdasarkan hadith:
Daripada Abu Hurairah RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud "janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum bulan Ramadhan kecuali bagi sesiapa yang kebiasaannya berpuasa, maka dia boleh berpuasa".
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Thursday, 20 June 2013

Ihsan di Tempat Kerja

Di sini saya ingin memaparkan dua cerita yang saya dengar dari kedua-dua belah pihak, iaitu dari pihak pekerja dan dari pihak pengurusan pertengahan.

Cerita 1: Luahan hati pekerja
Pekerja ini merupakan seorang cleaner, yang mana kerjanya adalah menyapu, vacuum, lap meja dan tingkap untuk menghilangkan habuk serta mengambil sampah dari tong sampah di meja setiap pekerja di sebuah bangunan di ibu kota Kuala Lumpur. 

Daripada ceritanya, saya dapat simpulkan bahawa majikannya seorang yang rajin beribadah khusus, dan dalam masa yang sama menceburi bidang peniagaan. Walaupun syarikatnya mempunyai banyak pekerja, hanya empat orang sahaja daripadanya adalah warga tempatan. Waktu kerja dan gaji yang diberi adalah sama. Majikannya melayan pekerja warga asing dan tempatan secara sama rata, tiada lebih dan tiada kurang. Ini menimbulkan sedikit rasa tidak puas hati, di kalangan pekerja warga tempatan yang bekerja di bawah majikannya.

Pernah pekerja ini pergi ke sebuah kompleks membeli-belah dan bertanya berkenaan peluang pekerjaan sebagai cleaner di situ, dengan cepat orang yang ditanyanya itu memberitahu bahawa tiada kerja kosong. Memandangkan pekerja ini masih mempunyai banyak masa, dia telah duduk di kawasan yang berhampiran, sambil menikmati suasana di situ. Tiba-tiba 2 orang warga asing datang kepada orang yang sama bertanyakan peluang pekerjaan sebagai cleaner di situ, terus disuruhnya mereka naik ke atas untuk diproses permohonan kerja mereka. Di dalam hati pekerja ini mula menyumpah-nyumpah dan membara kepanasan. Majikan di Malaysia seolah-olah menganaktirikan pekerja tempatan berbanding pekerja asing. Mereka bukannya hendak gaji yang lebih tinggi, mereka cuma mahu peluang untuk mendapatkan ruang di alam pekerjaan.

Cerita 2: Luahan hati pihak pengurusan pertengahan
Pengurus yang saya maksudkan ini bekerja sebagai seorang jurutera, lulusan dari universiti tempatan dan kemudiannya menyambung pelajaran di luar negara dengan jayanya. Beliau bekerja di sebuah kilang di Negeri Kedah.

Jurutera ini berasa agak sedih melihat tahap kebertanggungjawaban pekerja-pekerja tempatan. Pekerja asing sememangnya sangat berusaha untuk mendapatkan rezeki, buat kerja sebaik mungkin untuk mengelakkan kesilapan. Berlainan pula dengan pekerja tempatan, yang menganggap kesilapan adalah perkara biasa, dan boleh mengulanginya termasuk melanggar tatacara yang telah diarahkan oleh jurutera. Mungkin inilah sebab utama para majikan lebih suka untuk mengambil pekerja asing bagi kerja-kerja operasi (operation). Jika pekerja tempatan melanggar tatacara yang diarahkan oleh jurutera, ini menjadikan mereka tidak amanah dalam menjalankan tugasan mereka. Walaupun tidak dapat dikesan, jurutera tersebut selalu mengingatkan bahawa setiap butir nasi yang masuk ke dalam perut mereka dan anak-anak mereka akan dihisab sama ada dari sumber yang halal atau haram. 

Kesimpulan
Saya bukanlah hendak melaga-lagakan pekerja asing dan tempatan, bukan itu tujuan saya. Saya cuma ingin ingatkan diri saya dan para pembaca sekalian supaya hisab diri kita sebelum kita dihisab di akhirat kelak di hadapan semua manusia iaitu dari Nabi adam sehingga manusia terakhir hidup di muka bumi ini. CCTV kita sememangnya tidak mampu menyaingi teknologi CCTV Allah. Konsep ihsan itulah yang selalunya gagal diterjemahkan di dalam alam pekerjaan. Semoga, dengan coretan saya yang tidak seberapa ini dapat menguatkan kembali semangat kita untuk lebih amanah di dalam tugasan yang diberi.

Wallahua'lam.

Wednesday, 3 April 2013

Ebook Permasalahan Muwafik dan Masbuk

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Solat berjemaah lebih afdal (utama) daripada solat bersendirian dengan 27 kali ganda.” – (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(Diambil dari Berita Harian - http://www.bharian.com.my/articles/Solatberjemaahtawarganjaranpahalaberlipatkaliganda/Article/)

Saya rasa semua orang yang tahu bahawa sembahyang/solat berjemaah sememangnya jauh lebih baik dari solat bersendirian. Mengikut petikan hadith di atas, ganjarannya adalah 27 kali ganda berbanding solat bersendirian. Sangat lumayan!

Sememangnya umat Islam yang mengetahui kelebihan solat berjemaah dan ingin mengejar kelebihannya berlumba-lumba untuk ke masjid-masjid dan surau-surau agar dapat melaksanakan solat fardhu berjamaah semata-mata untuk mencari keredhoan Allah.

Malangnya, sembahyang hanya ikut-ikutan, kerana ilmunya tiada. Terus terang saya katakan, apa yang saya ingat dari ajaran di sekolah mengenai solat berjamaah ini hanyalah niat solatnya sahaja - iaitu ditambah "makmuman" sekiranya kita menjadi makmum/pengikut dan "imaman" sekiranya kita menjadi imam. Yang lain hanya amalan ikutan dari orang lain dan juga pengalaman sendiri. Maklumlah, niatnya dalam bahasa melayu pun "mengikut imam" sahaja, maka saya ikut sahajalah imam tersebut. Tidak terlintas di hati bahawa apa yang saya lakukan itu mungkin tidak betul.

Rupa-rupanya, semakin banyak saya belajar, semakin jelaslah kekurangan ilmu yang saya ada. Bila ditanya sekiranya saya seorang muwafik, dan berlaku sesuatu senario ini, apa yang perlu saya buat? Maksud "muwafik" pun saya tidak tahu, apatah lagi jawapan kepada persoalan ini. Bila ditanya sekiranya saya seorang masbuk, dan berlaku sesuatu senario ini, apa yang perlu saya buat? Maksud "masbuk" pun saya tidak tahu, apatah lagi jawapan kepada persoalan ini. Yang saya tahu, kalau kita mengikut imam, kita adalah makmum. Titik.

Berikutan kuliah-kuliah mengenai perkara ini dan perbincangan dengan rakan-rakan seqariah mengenai perkara ini, saya telah meminta kebenaran dari seorang rakan untuk menyebarkan sebuah eBook yang bertajuk "Permasalah Muwafik dan Masbuk", yang dirumikan dari sebuah kitab jawi "Masalah Muwafik dan Masbuk" oleh Hasan bin Ahmad.

Di dalamnya terdapat kupasan mengenai maksud makmum yang muwafik dan masbuk; masalah-masalah biasa dihadapi dan penyelesaiannya; khilaf ulama mengenai masalah ini; dan juga nota ringkas oleh penulis hasil kupasan dari ustaz-ustaz yang menggunakan kitab ini sebagai rujukan di dalam ceramah-ceramah di surau-surau dan masjid-masjid untuk pemahaman pembaca-pembaca sekalian.

eBook (PDF) tersebut boleh di download di sini.

Sekranya menghadapi masalah untuk memuat turun; tidak gemar fail-fail berbentuk PDF; atau apa jua masalah yang lain, boleh juga membaca secara terus dari blog penulis eBook tersebut: IRHAFIZ
Di samping itu, boleh juga membaca persoalan solat berjamaah yang masih menjadi tanda tanya pembaca kandungan eBook ini di ruang komen di blog tersebut. Sekiranya tuan puan juga mempunyai persoalan tersendiri mengenai perkara ini, boleh juga ditanya melalui ruangan komen tersebut. InsyaAllah, akan dijawab sekadar kemampuannya.

Wallahua'lam.

Thursday, 28 March 2013

Doa melembutkan hati pasangan dan anak yang nakal


Ustaz Haslin Baharin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Bollywood dalam satu ceramahnya telah memberikan kami tips-tips untuk melembutkan hati pasangan dan juga melembutkan hati anak yang nakal. Seperti di bawah:


Surah As-Syuura, ayat 19.

Maksudnya: Allah Maha lembut tadbirNya (serta melimpah-limpah kebaikan dan belas kasihanNya) kepada hamba-hambaNya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan) dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

(Doa melembutkan hati pasangan dan anak yang nakal ini di dalam rumi: "Allahu Latiifum bi 'ibaadihi, yarzuqu man yashaak, wahuwal Qowiyyu 'Aziiz". Untuk sebutan yang lebih tepat, sila dengar sedutan mp3 di bawah)

1) Untuk melembutkan hati pasangan:
Bacalah ayat ini 19 kali dan doakan supaya dilembutkan hati pasangan untuk menerima atau melakukan sesuatu (dengan niat yang baik, insyaAllah).

2) Untuk melembutkan hati anak yang nakal atau kekurangan sesuatu yang penting (a.k.a. ajar): Sewaktu anak itu tidur, petiklah / cabutlah rambutnya dari bahagian atas kepala anak tersebut, letakkan rambut itu di atas tapak tangan, bacakan ayat ini 19 kali dan dihembus kepada rambut itu. Kemudian, tadahlah tangan, nyatakan kesyukuran atas nikmat dikurniakan anak itu, kemudian berdoalah bersungguh-sungguh meminta semata-mata kepada Allah, supaya dengan berkat bacaan ayat ini  dilembutkan hati anak itu untuk rajin bersembahyang dan seterusnya menjadi anak yang soleh. Seelok-eloknya dilakukan oleh ibu anak itu sekiranya mampu, jika tidak mampu, sesiapa pun boleh.

InsyaAllah, dengan izin Allah, doa itu akan dimakbulkan. Tiada sesiapa atau sesuatu yang dapat memakbulkan doa, hanya Allah jualah yang Maha Berkuasa untuk memakbulkannya.

Wallahua'lam.

Sedutan mp3 ceramah ini boleh didengar di bawah:

Thursday, 21 March 2013

Nadamurni - Buta Mata





Lirik bagi Nasyid : Nadamurni - Buta Mata

Buta mata tak nampak jalan di dunia
Kerana tidak nampak cahaya
Tidak tahu ke mana hendak dituju
Ke hilir atau ke hulu

Selamatlah di dunia fana ini
Bilamana mata tidak buta
Melalui pengalaman diri
Kerana jalan itu sudah biasa

Ada pedoman yang menunjuk kita
Tongkat di tangan membantu jua
Boleh jadi orang simpati yang membawa
Tapi jika buta hati menderita

Tidak nampak jalan menuju ke akhirat 
Negeri yang kekal abadi
Tak diukur, tidak diukur dengan masa
Kerana tiada kawan yang membantu
Tiada pengalaman yang memastikannya
Tiada pedoman menunjuk kita
Tidak ada yang simpati menolong kita
Dalam kegelapan terjun ke neraka

Menderita di negeri yang abadi
Tidak kembali ke dunia lagi
Tiada gunanya penyesalan diri
Oleh itu banyakkan amal dan bakti


-------------------------------

Memang minat Nadamurni sejak dari zaman sekolah menengah lagi, tetapi tidak pernah dengar nasyid ini.

Kebetulan seorang ustaz menyanyi di dalam bas lagu nasyid ini, sedap didengar. Dari Google dan youTube diketahui rupanya nasyid ini sebenarnya dialunkan oleh Nadamurni. Ada juga versi dari Saff One, mungkin ada peminatnya yang tersendiri. Yang penting, mesej yang ingin disampaikan adalah agak jelas.

Liriknya amat bagus untuk diamati. Kalau hendak beramal, di dunia inilah tempatnya.

Wallahua'lam.