Monday 28 April 2014

Parking murah dan dekat KL Sentral atau Nu Sentral

Semalam saya telah pergi menghantar ayah ke KL Sentral untuk menaiki kereta api ke Ipoh. Sebenarnya boleh sahaja menghantar menaiki KTM Komuter untuk ke KL Sentral. Tetapi sebagai anak, rasanya tak perlu berkira sangat untuk menghantar ayah dengan menaiki kereta. Bila lagi nak berbakti kalau bukan sewaktu dia masih hidup.

Sebelum pergi, kerunsingan utama yang bermain di fikiran adalah bayaran untuk parking yang agak tinggi di kawasan itu. Melalui carian internet, kesimpulannya kalau nak parking dekat, sungguh mahal (RM5-RM7/jam), kalau nak murah, kena parking jauh. Di samping itu juga, ugutan kunci tayar bagi pemandu yang meletakkan kenderaan sesuka hati tidak boleh diabaikan. Berdasarkan pengalaman seorang kawan yang telah dikunci tayar keretanya, bayaran sebanyak RM100 dikenakan untuk membolehan kunci tayar itu dibuka (Terasa seperti ingin berguling-guling mendengarnya)!

Alhamdulillah, semuanya kuasa Allah. Terjumpa pula tempat parking ni semasa sibuk mencari-cari tempat parking.


Pintu masuknya memang tidak diduga sama sekali. Selepas terlepas lampu isyarat terakhir di depan KL Sentral, teruskan sehingga selepas Sentral Exhibition Mall, kemudian ada jalan masuk sebelah kiri (agak jauh dan sungguh tak dijangka). Kalau masuk melalui laluan itu, kita boleh terus menuju ke arah KL Sentral (ke arah tandaan X yang berwarna merah di dalam gambar di atas). Kereta pun nampaknya tidak banyak (kereta tidak banyak pada hari Ahad, macam satu keajaiban), tempat yang kami parking adalah lebih kurang 100 meter ke laluan pejalan kaki KL Sentral (ada bukaan pagar untuk menuju ke sana). Lagipun, kalaupun banyak kenderaan, memang tempat parkingnya sungguh luas. Saya juga tidak tahu apakah nama tempat parkir ini, tetapi mengikut papan tandanya, ia sepatutnya dikenali sebagai "SEMASA Parking".

Alhamdulillah, dapat bawa ayah berjalan di KL Sentral, dan juga Nu Sentral yang baru dibuka, lagi dapat bawa ayah makan malam dan menghantar sehingga ke pintu pelepasan dengan mudah. Semasa ingin keluar, agak terkejut juga melihat kadar bayaran parking yang dikenakan, sungguh berpatutan berbanding dengan tempat-tempat di sekitar itu. Untuk Isnin-Jumaat, sejam pertama adalah RM3, dan diikuti RM2 untuk jam-jam berikutnya. Selepas jam 6 petang, flat rate RM3 dikenakan. Untuk hari Sabtu, Ahad ataupun cuti umum yang lain, bayaran yang dikenakan adalah RM3 sahaja sekali masuk. Semua bayaran sudah termasuk 5% cukai kerajaan. Boleh rujuk gambar di bawah untuk pemahaman lanjut.


Semoga perkongsian ini bermanfaat. Wallahua'lam.